PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden sebuah kereta merempuh jemaah yang sedang keluar selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di luar sebuah pusat sukan di Westgate Road di Newcastle, utara England, semalam. Dalam kejadian itu, kereta dipandu seorang wanita berusia 42 tahun itu dilaporkan terbabas ke laluan pejalan kaki sebelum merempuh sekumpulan keluarga jemaah yang keluar dari Masjid Sentral Newcastle, menyebabkan 6 termasuk 3 kanak-kanak cedera.

2p

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini meminta warganegara Malaysia yang menetap di sekitar kawasan itu sentiasa berjaga-jaga dan patuh kepada arahan pihak berkuasa tempatan. Buat masa ini, katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan sedang memberi maklumat terkini serta segera kepada komuniti Malaysia di sekitar bandar itu.

Kementerian Luar turut menyampaikan ucapan simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden itu. Mereka yang berada dalam kecemasan boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di 52 Bedford Row, London WC1R 4LR atau menghubungi +44 (0) 207 242 4308 atau e-mel mwlondon.kln@1govuc.gov.my.

Pemandu wanita itu dilaporkan ditahan selepas insiden itu. Wanita tersebut dilaporkan turut menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid berkenaan sebelum pulang dengan keretanya. Tetapi, pemandu itu terus menekan pedal minyak dan bukan brek sehingga menyebabkan keretanya terbabas ke laluan pejalan kaki dan merempuh mangsa.