NILAI: Golongan orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami masalah pendengaran kini boleh menghayati pembelajaran Al-Quran dan solat dalam suasana lebih seronok dan santai. Jika sebelum ini pembelajaran mereka hanya menggunakan bahasa isyarat, namun kini ia ditambah nilai oleh sekumpulan penyelidik dan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Nilai, bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran kumpulan itu. Bagi menarik perhatian dan membantu golongan itu, kumpulan daripada Usim itu membangunkan I-Sign QurANIS, satu perisian interaktif yang mengandungi asas pembelajaran Al-Quran dan ibadah.

2q

Pensyarah Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah, Norakyairee Mohd Raus berkata, objektif utama pembangunan perisian yang menelan belanja RM78,000 itu bagi memenuhi keperluan rohani golongan terbabit berdasarkan kemahiran, kekuatan dan perbezaan pembelajaran mereka. “Tanggungjawab kita untuk memberi mereka ini asas ilmu berkaitan bagaimana untuk mereka membaca Al-Quran dan memudahkan pemahaman. Produk ini bertujuan mengajar orang pekak membaca Al-Quran. “QurANIS adalah satu kurikulum dibangunkan Fakulti Quran dan Sunnah untuk anak OKU pekak untuk mendapat pendidikan sama seperti pendidikan di Kafa (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) serta sekolah agama rakyat.

“Produk ini ada beberapa kandungan di dalamnya dan kita ada transliterasi Makhraj (merumikan teks Arab) dan terjemahan di bawahnya yang mesra golongan itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. Norakyairee berkata, I-Sign QurANIS yang memaparkan 2 segmen, iaitu mengenai Al-Quran dan asas ibadah, dilengkapi transliterasi rumi, bahasa isyarat dan terjemahan Al-Quran untuk orang cacat pendengaran, yang dimainkan menerusi audiovisual. “Orang pekak ini dikatakan bisu sebab biasanya orang pekak ini dia tidak pernah dengar perkataan sejak kecil…jadi tidak boleh nak menyebut atau menuturkan perkataan sebab itulah orang biasa sebut pekak bisu, tetapi sebenarnya mereka ini ada kotak suara.

“Kita pergi ke sekolah agama pendidikan khas di Johor Bahru baru-baru ini dan Alhamdulillah bila kita tengok interaksi kanak-kanak, apabila dia nampak perisian ini Masha Allah mereka suka sangat walaupun suara dia tidaklah sempurna sangat, tapi dia cuba menuturkannya,” katanya. Produk I-Sign QurANIS yang dibangunkan Usim berjaya meraih pingat emas dalam Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2017 (Itex) di Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas, yang disertai lebih 1,000 penyelidik dari 22 negara, antaranya China, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Iraq dan Vietnam.

Mengulas lanjut produk itu, Norakyairee berkata, produk yang dibangunkan itu adalah hasil tinjauan ke atas badan bukan kerajaan (NGO). “Modul ini ditunjukkan kepada NGO dan Alhamdulillah apa yang kita buat berdasarkan keperluan mereka dan mereka juga bersama memberi penilaian dan pengesahan isyarat yang kita tonjolkan dalam perisian itu betul atau tidak,” katanya. Dalam pada itu, Norakyairee berkata, produk yang memakan masa setahun setengah untuk dibangunkan buat masa terdekat ini akan dipasarkan kepada NGO memerlukan.

“Setakat ini, di pasaran belum ada lagi produk seperti ini, fokus untuk OKU pekak. Saya menjangkakan harga pasaran bagi produk ini boleh mencecah RM100 untuk 1 CD (cakera padat). Kita juga merancang sekiranya ada pihak yang berminat, produk ini boleh dipasarkan ke negara lain. “Kita hanya perlu tukar dari segi terjemahan bahasa dan bahasa isyarat sahaja. Setakat ini, kita baru menghubungi pasaran Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya.